Sunday, April 20, 2008

Memahami Kad Kredit

Salam Sejahtera,
Isu penggunaan kad kredit seringkali dibincangkan.
Jika 18% faedah yang dikenakan dikatakan tinggi mungkin kadarnya akan terus meningkat.
Jadi perlulah kita memahami caj-caj yang dikenakan.


Kad kredit ialah instrumen pembayaran yang menyenangkan kerana ia boleh digunakan bila-bila masa sahaja untuk membuat pembelian di kedai saudagar. Walau bagaimanapun, jika anda tidak menggunakannya secara berhemat atau gagal membuat bayaran bulanan, anda mungkin telah berbelanja di luar kemampuan anda dan terjerumus ke kancah kemelut kewangan.


MEMAHAMI CAJ-CAJ YANG BERKAITAN DENGAN KAD KREDIT

Memahami jenis-jenis caj yang terlibat dalam penggunaan kad kredit adalah penting. Selagi anda menggunakan kad kredit secara berhemat dan menjelaskan bayaran dalam tempoh yang diberikan, anda tidak perlu risau dengan caj-caj tambahan.

Berikut adalah caj-caj yang lazim dikenakan ke atas anda:
  • Yuran penyertaan
    Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran penyertaan kad kredit. Bayaran ini dikenakan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu institusi pengeluar kad kredit dengan yang lain.

  • Yuran tahunan
    Ini adalah yuran sama rata yang perlu dibayar setahun sekali. Anda dikehendaki membayar yuran tersebut walaupun anda tidak pernah menggunakan kad kredit anda. Yuran tahunan biasanya adalah di dalam lingkungan RM60 hingga RM90 untuk kad klasik dan RM130 hingga RM195 untuk kad emas.

  • Caj kewangan (faedah)
    Ini adalah caj yang dikenakan kepada anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang tidak dijelaskan selepas tarikh tamat tempoh. Caj ini biasanya dikira berdasarkan baki harian. Anda dinasihatkan supaya meminta pengeluar kad kredit anda memberi penjelasan mengenai kaedah yang digunakan untuk mengira caj kewangan ini kerana jumlahnya akan bertambah sekiranya anda tidak membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

  • Yuran pendahuluan wang tunai
    Ini adalah yuran yang dikenakan bagi setiap kali pendahuluan wang tunai diperoleh. Yuran ini biasanya 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil dan merupakan tambahan kepada caj kewangan yang dikenakan ke atas jumlah pendahuluan yang diberikan kepada anda. Caj kewangan dikira bermula daripada tarikh wang tersebut diambil atau apabila jumlah tersebut tercatat ke dalam akaun kad kredit anda. Jumlah pendahuluan wang tunai ini mungkin dihadkan untuk setiap pelanggan.

  • Caj bayaran lewat
    Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal untuk menjelaskan sekurang- kurangnya jumlah bulanan minimum sebelum tarikh yang ditetapkan. Jika pembayaran dibuat selepas tempoh tanpa faedah berakhir, anda bukan sahaja dikenakan caj kewangan ke atas baki belum jelas tetapi juga caj bayar lewat ke atas jumlah bayaran minimum bulanan.
SUMBER: PUSAT KHIDMAT ADUAN PENGGUNA NASIONAL

Keyword: Berbelanja Melebihi Pendapatan?

No comments: