Thursday, April 17, 2008

AKPK: Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit

>>> Amalkan Pengurusan Kewangan Secara Berhemah <<<

AKPK adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada April 2006, untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kredit dan kaunseling kewangan kepada individu, serta memberi pendidikan kewangan supaya para individu mampu mengawal kedudukan kewangan mereka di kala mendapat ketenangan daripada
penggunaan kredit yang bijak.




Salah Sebuah Kisah Dari Laman Web AKPK

"Yang Baik Jadikan Teladan, Yang Buruk Jadikan Sempadan"

Dr Azam seorang doktor muda yang berjaya. Pada usia 28 tahun, beliau telah pun memiliki dua kereta mewah serta sebuah rumah yang cantik hasil dari titik peluh beliau sebagai seorang doktor. Sememangnya beliau telah ditakdirkan untuk hidup mewah dan berjaya pada usia muda. Justeru beliau terus berusaha dan bekerja keras untuk mendapatkan apa yang diingini. Dr Azam percaya wang boleh membeli apa sahaja. Beliau banyak bergantung kepada kad kredit dan hampir semua benda yang dimiliki dibeli dengan menggunakan kad kredit. Dr Azam memiliki gaya hidup mewah, menggemari barangan berharga dan gemar dengan perhatian yang diberi orang ramai apabila melangkah bergaya dengan sepasang kasut yang mahal serta kot yang ditempah khas. Dr Azam tahu dengan berpendapatan sebanyak RM7,000 sebulan hasil dari tugasan di sebuah klinik swasta akan membawa beliau kepada kebebasan kewangan. Beliau tidak sedikit pun bimbang dengan masalah yang mendatang.

Dr Azam tidak merasa bimbang atas segala perbelanjaan yang dibuat. Beliau telah mendapatkan pinjaman untuk mengubahsuai rumah ibu beliau dan menghiasi rumah tersebut dengan perabut berjenama dari Itali. Kesenangan beliau mendapatkan pinjaman wang telah disalahgunakan. Beliau tidak tahu mengurus wang secara berhemah, kurang pengetahuan akan kepentingan menabung malah terus berbelanja mengikut kehendak beliau. Apa yang beliau tahu hanyalah berbelanja dan mendapatkan apa yang diingini. Tanpa disedari, Dr Azam telah terjerat di dalam kancah kewangan setelah hutangnya berkumpul sebanyak RM400,000 dari pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan juga kad kredit.

Pada mulanya Dr Azam tidak percaya dengan bebanan hutang yang dimiliki dan beliau tidak faham kenapa seseorang yang mempunyai pendapatan yang baik boleh terjebak dengan bebanan hutang yang banyak. Walaupun beliau berjaya tetapi disebabkan oleh tidak mempunyai pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, beliau telah masuk ke kancah hutang. Dr Azam cuba sedaya upaya untuk tidak mengendahkan hutangnya tetapi semakin dihindari semakin perit bebanan yang ditanggungnya.

Akhirnya, Dr Azam telah mendapatkan perkhidmatan dari AKPK. Disebabkan oleh beliau sendiri masih lagi bujang dan mempunyai hanya seorang tanggungan iaitu ibu beliau, Dr Azam telah dinasihatkan supaya menjual salah sebuah rumah yang dimiliki beliau demi meringankan beban hutang bulanan. Beliau bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh AKPK dan langkah diambil untuk menyelamatkan beliau dari terus dibebani hutang di masa depan. AKPK telah berjaya menyelamatkan sejumlah 45% daripada bayaran bulanan hutang beliau. Dengan mempunyai pendapatan bulanan yang stabil serta dibekalkan dengan nasihat kewangan dari AKPK, Dr Azam kini melalui kehidupan yang sejahtera demi menyelamatkan kedudukan kewangan di masa hadapan.

* Nama yang tertera bukan nama sebenar

Keyword: Mencegah Lebih Baik Dari Merawat

No comments: