Sunday, May 18, 2008

Untung RM1, rugi RM100

Artikel ini adalah hasil Osman Affan yang telah diambil dari MOTIVASI BELAJAR
tanpa apa-apa perubahan. Suatu artikel yang agak menarik untuk difikirkan bersama.

Harap Maklum.

Untung RM1, rugi RM100

Hmmm… hari ni saya hendak bercerita sedikit. Alkisahnya, semalam saya berada di pejabat saya untuk menyiapkan sedikit kerja sambil menunggu kereta saya masuk bengkel. Saya diberitahu oleh staf saya yang sinki bilik air di pejabat saya bocor. Jadi saya pun telefon la satu nama tukang paip yang saya ambil di satu kertas yang terlekat di satu tiang berhampiran pejabat saya.

Tukang paipDipendekkan cerita, tukang paip itu datang, lihat kerosakan dan terus keluar membeli barang untuk membaikinya. Laju sahaja gerak geri tukang paip ni. Langsung tak beritahu saya berapa anggaran membaikinya. Ini membuat saya sedikit berdebar kerana selalunya (ikut pengalaman saya) ini tanda-tanda usahawan yang akan mengetuk dengan harga tinggi. Kurang 15 minit kerja itu pun siap.

Tukang paip ni cuma membeli satu bahagian bawah sinki tu yang saya tahu harganya kurang RM10. Saya tahu kerana awal tahun lepas saya ada baiki sinki yang satu lagi (ada dua sinki di pejabat saya). Kos yang dikenakan kepada saya ketika itu cuma RM25 kerana kerosakan sangat kecil dan kerjanya sangat mudah.

Setelah tukang paip ini selesai, saya tanya, ‘berapa ye?’. “RM70 bang.” Katanya. Hmmm…. berkali ganda juga tingginya. Saya tanya, ‘tak boleh kurang ke?’ sebab saya tahu berapa caj yang biasa untuk kerosakan begitu. ‘RM60 la bang’. Saya pun bayar. Tukang paip tu pun cepat-cepat berlalu.

Bagi saya, ini adalah contoh untung RM1 dan rugi RM100. Tukang paip ini mahu untung lebih besar dan cepat dengan kenakan harga yang jauh lebih tinggi daripada nilai kerja. Jadi, dia dapat keuntungan itu sekarang. Sayangnya, kerana saya tahu berapa harga sebenar yang dia patut kenakan, saya tidak akan menggunakan khidmatnya lagi. Siapa tahu, saya mungkin perlukan khidmatnya hingga 10 tahun akan datang? Bukankah tukang paip ini akan rugi di masa akan datang?

Hehe. Mesej cerita saya sebenarnya bukan mengenai duit. Mari kita lihat situasi yang saya dengan pelajar atau orang dewasa. Oleh kerana mahu untung cepat, ramai yang tidak mahu mengeluarkan duit untuk pelaburan minda. Bila mahu beli buku, terasa rugi RM10, RM20 atau RM30. Nak untung, tak payah beli dan lebih baik beli prepaid handphones atau lebih baik pergi makan dengan restoran makanan segera. Benar…. untunglah sekarang. Tetapi dalam jangka masa panjang?

Oleh kerana mahu untung masa dan untung duit, ramai yang memilih untuk TIDAK pergi kursus atau seminar bagi mempelajari ilmu baru. Mahu keluarkan RM100, RM200 atau RM300 terasa macam mahu memotong jari sendiri. Mahu untung, tak payah keluarkan duit itu dan gunakannya untuk beli jam baru, baju cantik, perhiasan kereta, beg tangan baru, handphone baru dan sebagainya. Lebih untung kan? Tetapi berapa lama barang-barang itu bertahan? Bolehkah barang-barang itu bertahan selama 5 tahun?10 tahun? 20 tahun?

Tukang paipFenomena takut untuk berbelanja ke arah pendidikan agak menakutkan sebenarnya. Saya baru dengar cerita daripada seorang sahabat yang mengatakan guru-guru pun ada yang terlalu takut untuk berbelanja ke arah perkembangan minda mereka. Nak keluarkan RM20 untuk kursus pembangunan diri pun tidak mahu. Hmmm… pelik juga bunyinya tetapi saya tidak terlalu hairan. Sebabnya, setiap kali saya buat program di sekolah, saya selalu perhatikan gelagat guru yang yang ada di dalam dewan. Cuba teka, adakah guru-guru akan duduk sama cuba belajar apa yang saya sampaikan kepada pelajar atau guru-guru akan sibuk berborak sesama sendiri di belakang (hingga kadang-kadang mengganggu program)? Bak kata Nabil Raja Lawak Astro “Ha lu pikir la sendiri!” hehe.

Dalam masa sama, saya selalu ingatkan diri saya bahawa berbelanja ke arah pendidikan bukan bermaksud kita kena berbelanja besar hingga beratus-ratus atau beribu-ribu ringgit. Orang-orang yang takut berbelanja ke arah pendidikan selalu merungut tentang harga yang mahal dan tempat belajar yang jauh. Buku itu mahal, buku ini terlalu tebal dan buku itu pula terlalu nipis. Kursus di sana terlalu jauh, kursus di sini terlalu panas tempatnya.

Selagi mereka merungut, selagi itulah mereka kekal berdiri atau duduk di tempat mereka sekarang sebagai seorang perungut. Orang dah sampai ke bulan, dia masih merungut tentang harga buku yang mahal. Orang dah dapat ijazah, dia masih merungut tentang cikgu sekolah rendahnya yang terlalu garang dan tidak pandai mengajar. Apa agaknya akan jadi kepada mereka satu hari nanti?

Apa kata hari ini, kita buat satu rancangan untuk mendapatkan satu ilmu baru? Ilmu apa? Ilmu apa-apa sahaja yang boleh meningkatkan kebolehan dan kemahiran kita untuk masa depan. Kalau pekerja, mungkin teknik berkomunikasi atau teknik pengurusan kewangan. Kalau pelajar mungkin teknik menguruskan masa dan teknik bacaan pantas. Terpulang. Mari kita rancang sekarang.

Selamat merancang. :)

Keyword: Anda Tak Sanggup Melabur RM20 untuk hampir 150 artikel kewangan???

2 comments:

msazmer said...

bro....satu cerita yang unik, ringkas dan padat tapi membawa seribu satu maksud yang tersendiri..

Razif Yusof said...

Ya, diharap perkongsian artikel ini dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada semua.Semoga kita berjaya bersama...